Monday 10 October 2011

Sejarah SMK Tmn Johor Jaya 1


Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Johor Jaya secara rasminya ditubuhkan pada 3 Disember 1989 dengan menumpang di blok bangunan Sekolah Kebangsaan Sri Amar, Pandan. Pada ketika itu, sekolah ini hanya mempunyai 14 orang guru, seorang kerani, seorang pembantu makmal dan 240 orang pelajar.


Atas daya usaha Encik Dahari bin Sayuti, Penolong Kanan sekolah ini pada Januari 1990, logo yang menjadi lambang kebanggaan sekolah ini telah disiapkan. Manakala, lagu sekolah pula telah dicipta oleh Encik Misrol bin Amri dengan gubahan senikata lagu oleh Encik Dahari bin Sayuti pada April 1991.


Akibat pertambahan bilangan pelajar yang semakin ramai dan masalah pembinaan bangunan sekolah yang tergendala, sekolah ini terpaksa menumpang di Sekolah Menengah Ulu Tiram pada sesi persekolahan 1990/91. Manakala, pada sesi persekolahan 1992/93 sekolah ini telah menumpang di Sekolah Rendah Taman Johor Jaya. Pada ketika itu, bilangan pelajar sekolah ini telah meningkat kepada 750 orang dengan bilangan guru seramai 33 orang.


Menjelang sesi persekolahan 1992/93, sekolah ini telah siap dibina dan dapat digunakan. Namun begitu, sekolah ini belum siap sepenuhnya kerana kemudahan elektrik belum dapat disediakan sehinggalah Julai 1993. Menjelang 2 Ogos 1993, akhirnya sekolah ini dapat diserahkan secara rasmi oleh Jabatan Kerja Raya kepada Jabatan Pendidikan Johor.


Secara keseluruhannya, kemudahan sekolah ini telah dipenuhi secara berperingkat-peringkat, seperti penurapan kawasan Dataran Kejat, kelengkapan kerusi dan meja kantin. Dengan tertubuhnya Sekolah Menengah Kebangsaan Johor Jaya (2) pada Disember 1994, sekolah ini didaftar semula sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Johor Jaya (1) pada 31 Mac 2004.


Pada September 1997, Dewan Terbuka sekolah ini telah dibina bagi memenuhi keperluan proses pendidikan. Pembinaan ini adalah hasil daya usaha dan kerjasama yang erat antara pihak PIBG, Pengetua, guru-guru, kakitangan sokongan dan juga para pelajar. Dewan ini telah siap dan dapat digunakan sepenuhnya pada pertengahan 1998.


Sekolah ini kini telah dilengkapi dengan 3 blok bangunan yang menempatkan 24 bilik darjah. Sekolah ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahana lain seperti pejabat, bilik guru-guru kanan, bilik guru, bilik kaunseling, perpustakaan, bilik APD, bilik ERT, bilik seni, makmal komputer, bilik stor buku teks (BOSS), surau, bilik cetak, bilik stor alatan sukan dan bilik penilaian dan peperiksaan.


Semoga kecemerlangan sentiasa mengiringi warga SMK Taman Johor Jaya 1.


No comments: